Kali ini saya akan membincangkan isu menutup aurat. Bukan berhujah mengenai kewajipan menutup aurat tetapi luahan dari hati ke hati kerana nasihat yang lembut dan berhikmah lebih mudah diterima, kan?
Kapada yang tidak menutup aurat, tatkala anda dinasihati untuk menutup aurat secara kasar mungkin anda akan mempersoalkan kebaikan orang yang menutup aurat, kan? Maafkan mereka yang tidak menggunakan cara yang betul untuk menasihati anda tetapi sangkaan anda adalah salah sama sekali. Personaliti seseorang itu bukan pada tudungnya tetapi pada hatinya. Allah menyuruh kita menutup aurat tanpa apa-apa syarat. Kewajipan menutup aurat itu tidak bersyaratkan ikhlas, kebaikan dan sebagainya. Kerana menunggu ikhlas itu sukar (walaupun tidak mustahil), bimbang kita terlambat menunaikan kewajipan kita kerana menunggu keikhlasan hati.
Mungkin anda mempersoalkan yang bertudung belum tentu baik tetapi kami yang bertudung sendiri tidak pernah mengaku kami baik. Kami sedang berubah ke arah kebaikan dengan menutup aurat. Menutup aurat membezakan yang Islam dengan yang kafir (bagi muslimah). Menutup aurat akan mengundang rasa malu di hati tatkala ingin membuat maksiat (menipu, berdating...). Pada awalnya mungkin kita rasa malu kerana tudung yang kita pakai namun lama-kelamaan kita akan merasa malu kerana Allah itu Maha Melihat. Menutup aurat mendidik kami menjadi muslimah yang lebih baik. Pasti anda juga mahu berubah ke arah kebaikan, kan?
Menutup aurat turut membantu kaum lelaki menjadi khalifah yang hebat. Khalifah yang hebat? Iya, pemimpin negara yang luar biasa, ketua yang berwibawa di tempat kerja, bapa yang bertanggungjawab, suami yang soleh. Pasti kita sebagai wanita mahu suami yang boleh menjadi khalifah yang hebat. Maka kita harus bantu mereka dengan tidak menambah beban mereka menahan perasaan dan nafsu tatkala melihat peha dan betis wanita yang putih, rambut yang cantik, kulit yang lembut dan sebagainya.
Kami yang menutup aurat menegur anda untuk menutup aurat kerana itu adalah tanggungjawab kami sebagai saudara seislam. Kami bimbang di akhirat nanti kami akan didakwa kerana tidak memberi nasihat kepada anda. Teguran dan tarbiah yang berterusan mampu membuatkan seseorang berubah maka tidak perlu bosan dengan nasihat yang baik. Itu adalah salah satu cara Allah memberi hidayahNya. Sentiasa bersyukur dengan hidayah Allah yang datang dalam pelbagai bentuk.
Saya mendoakan anda di luar sana agar terbuka hati untuk menutup aurat dengan sempurna dan menjadi muslimah yang hebat dan luar biasa. Islam itu Indah maka belajar membaca Keindahan Allah dalam setiap kejadian. :)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan